transformasi pengangkutan awam keutamaan rakyat
Wednesday, 1 July 2015
PERSPEKTIF MENYELURUH TRANSFORMASI ORGANISASI
Pelaksanaan agenda transformasi memerlukan pengukuhan ke atas
perancangan pengurusan organisasi secara bersepadu, meliputi aspek
pengenalpastian komponen transformasi dan perincian proses yang terlibat
di dalam melaksanakan transformasi.
a) Komponen Transformasi Organisasi
MAMPU telah mengenal pasti komponen-komponen utama dalam
melaksanakan transformasi yang memberikan gambaran menyeluruh
mengenai hubung kait pelbagai dimensi yang perlu diperkasakan dalam
sesebuah organisasi.
Komponen kepimpinan telah diletakkan sebagai faktor paling kritikal
yang menentukan kejayaan transformasi dalam sesebuah organisasi. Ini
kerana kepimpinan menentukan hala tuju dan matlamat organisasi melalui
penggemblengan sumber-sumber secara strategik. Kepimpinan juga amat
kritikal dalam mencetus, menggerak serta menerajui inisiatif perubahan
dalam organisasi yang merupakan prasyarat kepada kejayaan transformasi.
Pendekatan transformasi juga meletakkan komponen nilai dan etika sebagai
faktor penting kerana nilai dan etika yang luhur akan menjamin Perkhidmatan
Awam yang berintegriti, telus dan menjadi benteng kepada amalan rasuah,
penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa.
Bagi memastikan transformasi menyeluruh dan bersepadu, aspek sumber
manusia, aspek operasi dan pelaksanaan serta penetapan hala tuju strategik
turut diberi penekanan khusus. Seterusnya, aspek lain yang menyokong
kejayaan transformasi dalam sesebuah organisasi adalah komunikasi
berkesan, kolaborasi strategik dan budaya korporat yang gemilang.
TERAS STRATEGIK PENGANGKUTAN AWAM
TerasStrategik
Kerangka strategik transformasi Sektor Awam berpaksi kepada lima
(5) teras utama untuk melaksana proses transformasi yang disokong
oleh rangkaian strategi dan program berimpak tinggi bagi memastikan
pencapaian matlamat transformasi. Rajah 5 menunjukkan lima (5) teras
strategik transformasi Sektor Awam.
TerasStrategik 1 : Kepimpinan Transformasional
Kepimpinan Transformasional (KT) merupakan pencetus, pencipta,
penggerak dan peneraju perubahan bagi mencapai hala tuju transformasi
di peringkat agensi. Objektif utama teras Kepimpinan Transformasional
adalah untuk melahirkan lebih ramai pemimpin transformasional dalam
Perkhidmatan Awam yang berupaya melakukan proses transformasi ke
atas organisasinya secara menyeluruh.
TerasStrategik 2: KerajaanBerteraskan Nilai
Pemantapan nilai murni dan integriti di kalangan penjawat awam amat
kritikal dalam mewujudkan Sektor Awam yang gemilang. Objektif utama
Teras Kerajaan Berteraskan Nilai adalah untuk mewujudkan agensi-agensi
Sektor Awam yang berpegang kepada prinsip-prinsip integriti, akauntabiliti
dan memiliki sistem tadbir urus yang kukuh serta berwibawa dalam
menyediakan perkhidmatan bertaraf dunia.
TerasStrategik 3: Kerajaan MengutamakanPencapaian
Kerajaan telah menekankan konsep ’Kerajaan Mengutamakan Pencapaian’
serta mewajibkan pelaksanaan Key Performance Indicator (KPI) bagi
memantau dan mengukur prestasi Sektor Awam secara komprehensif.
Objektif utama Teras Kerajaan Mengutamakan Pencapaian adalah untuk
meningkatkan kemampuan sektor awam untuk menyediakan perkhidmatan
berkualiti tinggi dan melangkaui kehendak rakyat dan pelanggan.
TerasStrategik 4 : KerajaanSalingBerhubungan
Pelaksanaan konsep Kerajaan Saling Berhubungan adalah dipacu oleh
keupayaan teknologi ICT sebagai pembolehdaya strategik. Kerajaan Saling
Berhubungan adalah bercirikan capaian mudah, perkhidmatan berinovasi,
interaksi dan koordinasi berkesan, perkongsian maklumat, kecekapan
operasi dan tadbir urus ICT yang mantap. Objektif utama Teras ini adalah
untuk mewujudkan Kementerian dan Agensi Kerajaan yang saling berhubung
dan berkomunikasi di mana perkongsian maklumat dilaksanakan secara
SUMBERhttp://www.mampu.gov.my/
TAGLINE TRANSFORMASI
Transformasi bermula daripada setiap individu dan diterjemahkan
kepada setiap unit atau bahagian dan seterusnya kepada keseluruhan
organisasi/agensi. Usaha transformasi kemudiannya perlu diperkasa dan
diperluaskan ke seluruh Sektor Awam dan negara. Bagi melaksanakan
inisiatif transformasi ini, agensi perlu menggandakan usaha meningkatkan
potensi dan kompetensi warga bagi melahirkan penjawat awam yang
berilmu pengetahuan, kreatif dan inovatif. Sejajar dengan matlamat ini,
MAMPU telah memilih ‘Bersama Melaksana Transformasi’ sebagai tagline
bagi merealisasikan aspirasi Kerajaan untuk melahirkan Sektor Awam yang
responsif terhadap ekspektasi rakyat dan pelanggan. ‘Bersama Melaksana
Transformasi’ juga memberi penegasan tentang pentingnya Sektor Awam
bergerak di atas landasan yang sama sebagai satu entiti yang mantap
dalam usaha menjulang kegemilangan negara. Elemen ‘kebersamaan’ juga
merupakan manifestasi kepada aspirasi 1Malaysia yang menjadi tunggak
pentadbiran negara.
SUMBERhttp://www.mampu.gov.my/
DASAR DAN CADANGAN PENGANGKUTAN AWAM
DASAR DAN CADANGAN PENGANGKUTAN AWAM
UMUM
Pengurusan Permintaan Perjalanan
Jika trend semasa berterusan, perjalanan dengan berkereta pada tahun 2020 dijangka akan meningkat hampir dua kali ganda daripada tahun 1997. Meningkatkan keupayaan jalan dengan membina jalan baru dan memperluaskan jalan sedia ada, dalam jangka masa panjang, tidak lagi akan menyelesaikan masalah tetapi sekadar menangguhkannya sehingga lebih banyak jalan perlu dibina. Kebanyakan kawasan di Bandar Raya, terutama di Pusat Bandar Raya telah dibangunkan dan pengambilan balik tanah untuk pembinaan jalan adalah bertambah sukar dan mahal.
DBKL sedang menyusun strategi Pengurusan Permintaan Perjalanan yang bertujuan untuk mengarah semula pola pergerakan daripada pengangkutan persendirian kepada pengangkutan awam dengan mengintegrasikan mod-mod pengangkutan, memperkembangkan dan mempromosikan pengangkutan awam dan tidak menggalakkan penggunaan pengangkutan persendirian. Sistem pengangkutan awam di Bandar Raya seharusnya dapat bersaing, selesa, mesra pengguna dan mudah sampai kepada semua golongan pendapatan.
Dasar:
TT 1: DBKL akan menentukan langkahlangkah Pengurusan Permintaan Perjalanan untuk meningkatkan penggunaan pengangkutan awam dilaksanakan melalui kerjasama dengan pihak pihak berkuasa yang berkepentingan.
TT 2: DBKL akan melaksanakan program mengawal kenderaan persendirian untuk membaiki sirkulasi lalu lintas di Pusat Bandar Raya dengan tidak menggalakkan perjalanan berkereta dari dan ke Pusat Bandar Raya semasa waktu puncak dan menguatkuasakan langkah-langkah mengehadkan akses ke sesetengah kawasan di Bandar Raya.
Pengurusan Sistem Lalu Lintas
Bagi mengoptimumkan sistem pengurusan lalu lintas, sistem yang sedia ada perlu dipertingkatkan kepada satu sistem yang boleh memantau dan mengawal semua aspek pergerakan lalu lintas di Bandar Raya.
Dasar:
TT 3: DBKL akan meningkatkan sistem pengurusan lalu lintas.
c)
Pembangunan Berorientasikan Transit
436.
Satu objektif utama sektor pengangkutan ialah pengintegrasian guna tanah dengan pengangkutan dan membangunkan satu Strategi Pembangunan Berorientasikan Transit. Strategi ini dibincangkan secara terperinci dalam Bab 6: Guna Tanah dan Strategi Pembangunan, ia akan mempromosikan pembangunan intensif di sepanjang rangkaian rel. Sebarang rancangan penyambungan kepada rangkaian rel hendaklah menyokong dasar ini dengan memastikan stesen-stesen rel memberi khidmat langsung kepada pusat-pusat bandar terpilih.
Dasar:
TT 4: DBKL akan mewujudkan Zon Perancangan Transit bagi memudahkan intensifikasi kawasan kediaman, perdagangan dan pembangunan bercampur berorientasi transit di sekitar stesenstesen rel.
PENGANGKUTAN AWAM
Pentadbiran Pengangkutan Awam.
Tumpuan yang semakin meningkat serta peruntukan perbelanjaan yang tinggi bagi pengangkutan awam memerlukan penyelarasan dan sokongan antara jabatan-jabatan kerajaan serta agensi-agensi lain yang terlibat. DBKL akan mengambil langkah-langkah untuk membantu menjayakan pelaksanaan dasar-dasar kerajaan berkaitan dengan pentadbiran pengangkutan awam.
Dasar:
TT 5: DBKL akan membantu menyelaras perancangan, pembangunan dan operasi pengangkutan awam dan halhal berkaitan dengan pengangkutan persendirian.
b)
Integrasi Pengangkutan Awam
438. Selaras dengan pelaksanaan dasar kerajaan, penekanan akan diberikan kepada penyediaan satu sistem pengangkutan awam yang bersepadu, fleksibel, pelbagai dan efisien berorientasikan kemudahsampaian dan keselesaan penumpang. Keutamaan dalam pendekatan ini ialah pengintegrasian mod-mod pengangkutan awam dengan pengangkutan persendirian. Dengan tersusunnya kemudahan pertukaran antara mod dan sistem tiket bersepadu, perjalanan penumpang akan menjadi lebih senang dan lancar.
439.
Bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas di jalan tempatan, kemudahan penukaran bas dan rel utama serta kemudahan letak dan naik akan disediakan di pertemuan stesen rel dan jalan-jalan utama. Lokasi-lokasi penukaran yang dicadangkan adalah seperti yang ditunjukkan di dalam Rajah 10.3.
Dasar:
TT 6: DBKL akan membantu pelaksanaan dasar kerajaan berhubung dengan sistem pengangkutan awam bersepadu.
c)
Pengangkutan Awam Berasaskan Rel
440. Rangkaian rel merupakan cara yang paling efisien dalam menyediakan pengangkutan cepat berkapasiti tinggi. Rancangan jangka sederhana dan panjang bagi memperkenalkan sistem sistem rel lain seperti tram dan perkembangan rangkaian rel ke kawasan luar perlu dikaji setiap 10 tahun bagi menentukan daya kemungkinannya.
441. Kawasan pertumbuhan utama di Kuala Lumpur kini telah mempunyai hubungan yang baik dengan Pusat Bandar Raya kecuali kawasan laluan timur-barat. Cadangan laluan baru LRT Damansara- Cheras yang akan menghubungkan kawasan pertumbuhan di sebelah timur dan barat akan dikaji bersama dengan laluan-laluan baru rel yang memberi perkhidmatan ke pusat daerah, kawasan pembangunan komprehensif dan kawasan pertumbuhan.
442. Adalah juga dicadangkan supaya laluan STAR LRT dari stesen Sentul Timur disambung ke utara menghala Taman Wahyu dan ke barat menghala Kepong. Satu lagi laluan dari stesen Sri Petaling disambung ke barat bagi memberi perkhidmatan di sekitar Bukit Jalil.
443. Sambungan bagi LRT dicadangkan dari stesen KL Sentral ke cadangan pusat daerah Bukit Indah. Kelima-lima laluan baru ini akan menambahkan jarak laluan sepanjang 41.9 kilometer.
Dasar:
TT 7: DBKL akan membantu dalam penyediaan kajian kemungkinan bagi penyambungan masa hadapan rangkaian rel dan menyelaras pelaksanaannya dengan pihak-pihak berkuasa yang berkaitan.
d)
Perkhidmatan Bas
444. Bas akan kekal sebagai pengangkutan awam utama khususnya di luar Pusat Bandar Raya pada masa hadapan. Langkah-langkah akan diambil untuk memperbaiki kebolehpercayaan, liputan, keselesaan dan kesenangan perkhidmatan bas bagi meningkatkan penggunaannya.
Dasar:
TT 8: DBKL akan membantu menentukan langkah-langkah bagi membaiki perkhidmatan bas secara maksimum ke kawasan pertumbuhan, semua pusat pekerjaan dan perdagangan serta menyelaras dengan agensi-agensi dan pengusaha-pengusaha berkaitan.
445. DBKL akan mengambil langkah-langkah untuk mewujudkan satu rangkaian terminal bas di Kuala Lumpur bagi bas dan koc yang memberi perkhidmatan berlainan untuk peringkat antarawilayah dan dalam-wilayah. Terminal-terminal ini akan diintegrasikan dengan sistem rel di stesen pertukaran multi-modal untuk memudahkan laluan ke Pusat Bandar Raya dan kawasan lain di Bandar Raya. Terminal perkhidmatan antara-wilayah akan dibangunkan di Gombak (untuk perkhidmatan ke timur), Bandar Tasik Selatan (untuk perkhidmatan ke selatan), Jalan Ipoh (untuk perkhidmatan ke utara dan stesen di KPK Jalan Duta (untuk perkhidmatan ke barat). Terminal Hentian Putra, Pasarama Kota dan Plaza Rakyat akan dijadikan terminal perkhidmatan dalam-wilayah. Terminal untuk perkhidmatan tempatan akan dibangunkan di beberapa lokasi sesuai dalam Bandar Raya (rujuk Rajah 10.4).
Dasar:
TT 9: DBKL akan melaksanakan satu rangkaian terminal bagi perkhidmatan bas antara-wilayah, dalam-wilayah dan tempatan.
e)
Kereta dan Tempat Letak Kereta
i.
Keadaan Semasa
446.
Dengan mengawal penyediaan dan pengagihan kemudahan meletak kereta di Kuala Lumpur, DBKL boleh membantu mengukuhkan pengangkutan awam dan objektif Pengurusan Permintaan Perjalanan dengan menjadikan pengangkutan persendirian sesuatu yang kurang menarik berbanding dengan pengangkutan awam, khususnya di Pusat Bandar Raya. Ini boleh diperkukuhkan lagi dengan mengawal kos letak kereta di kawasan yang berbeza di Bandar Raya.
Dasar:
TT 10: DBKL akan mengawal penawaran kemudahan tempat letak kereta.
f)
Teksi
447. Memandangkan peranan penting teksi dalam menghidupkan aktiviti perniagaan dan perdagangan Bandar Raya, adalah mustahak untuk meningkatkan tahap perkhidmatan dan kebolehpercayaannya. Bagi mencapai perkhidmatan pengangkutan awam secara menyeluruh, perkhidmatan teksi perlu dikembangkan dengan perkhidmatan yang inovatif dalam pasaran baru.
Dasar:
TT 11: DBKL akan membantu membaiki kebolehpercayaan dan penawaran perkhidmatan teksi dengan penyelarasan bersama agensi-agensi yang berkaitan
10.4.3 PENGANGKUTAN PERSENDIRIAN
a)
Motosikal
448.
Ketika Kuala Lumpur berusaha untuk mewujudkan satu persekitaran hidup yang lebih bersih dan selamat, peranan motosikal dalam pengangkutan perlu dikaji. Pengguna motosikal merupakan peratusan yang besar yang akan menikmati faedah daripada sistem pengangkutan awam yang lebih komprehensif. Perspektif jangka masa panjang dalam pembangunan sistem pengangkutan awam akan memperlihatkan kepada menggalakkan pengguna motosikal untuk lebih menggunakan pengangkutan awam dan mengehadkan penggunaan motosikal di Pusat Bandar Raya hanya bagi pengguna-pengguna tertentu. Untuk jangka masa panjang, langkah-langkah untuk menggalakkan pengguna motosikal lebih menggunakan pengangkutan awam dan mengehadkan penggunaan motosikal di Pusat Bandar Raya hanya bagi pengguna-pengguna tertentu perlu dikaji.
449.
Dalam jangka masa pendek dan sederhana, langkah-langkah akan dilaksanakan untuk meningkatkan keselamatan pengguna motosikal dan penguatkuasaan yang lebih ketat ke atas peraturan sedia ada.
Dasar:
TT 12: DBKL akan membantu dan menyelaras dengan agensi-agensi yang berkaitan dalam meningkatkan infrastruktur jalan bagi meningkatkan keselamatan pengguna motosikal.
10.4.4 INFRASTRUKTUR JALAN
a)
Pembangunan Jalan Baru
450. Sistem jalan utama sedia ada, yang sedang dibina atau komited dikira telah mencukupi untuk keperluan Kuala Lumpur sehingga tahun 2020. Walau bagaimanapun dua jalan baru dicadangkan pada dasarnya untuk memperbaiki aliran lalu lintas ke dalam dan keluar Pusat Bandar Raya. Memandangkan masalah yang dihadapi untuk meningkatkan kapasiti jalan sedia ada di Pusat Bandar Raya dan kos yang tinggi untuk mendapatkan koridor baru, maka satu lebuh raya ekspres bawah tanah dicadangkan melalui Jalan Raja Chulan menghubungkan ke Jalan Lingkaran Dalam di sebelah timur.
451.
Satu jalan pintasan dalam bandar juga dicadangkan, sebahagiannya melalui bawah tanah bagi menyediakan laluan terus dari Jalan Syed Putra di sebelah selatan Pusat Bandar Raya ke Jalan Dang Wangi (rujuk Rajah10.5 dan Jadual 10.3).
Dasar:
TT 13: DBKL akan menentukan program pembangunan jalan dan menyelaras dengan pihak pihak berkuasa yang berkaitan mengenai pelaksanaannya.
452. Untuk keperluan masa hadapan, jika ada, pembinaan jalan-jalan baru perlu dikaji dalam konteks dasar-dasar am pengangkutan DBKL. Walau bagaimanapun, sebarang jalan baru haruslah menyokong dasar-dasar DBKL untuk menggalakkan pengangkutan awam dengan menyediakan peruntukan bagi kenderaan berpenumpang tinggi dan/atau laluan khas bas. Cadangan rizab rizab jalan ini hendaklah ditentukan dengan jelas bagi mengelakkan pencerobohan.
453. Projek-projek penswastaan bagi jalan arteri perlu mematuhi cadangan rangkaian jalan dalam pelan struktur dan pelan tempatan dan tidak dirancang secara berasingan.
Dasar:
TT 14: DBKL akan memastikan agar jalanjalan utama yang dicadangkan dan komited dipertimbangkan dalam konteks perkhidmatan pengangkutan awam yang lebih luas, pergerakan kenderaan barangan dan kesannya terhadap masyarakat dan alam sekitar.
b)
Pembaikan Rangkaian Jalan Sedia Ada
454.
Dalam usaha menyiapkan rangkaian jalan sedia ada, meningkatkan kapasiti dan melebarkan jalan-jalan sempit yang menyebabkan kesesakan, satu program pembaikan rangkaian jalan hendaklah dilaksanakan untuk menaik taraf jalan sedia ada ke jalan arteri, membina penyambung jalan terputus dan membaiki persimpangan (rujuk Rajah 10.5 dan Jadual 10.3).
Dasar:
TT 15: DBKL akan menentukan program pembaikan jalan dan menyelaras dengan pihak-pihak berkuasa yang berkaitan mengenai pelaksanaannya.
b)
Hierarki Jalan
i.
Keadaan Semasa
455.
Bagi tujuan pemantauan yang berkesan dan mengoptimumkan penggunaan sistem jalan sedia ada, status sebenar semua jalan sedia ada dan sistem hierarki jalan akan disemak semula.
Dasar:
TT 16: DBKL melaksanakan sistem klasifikasi hierarki jalan yang telah diperbaiki.
10.4.5 PENGANGKUTAN BUKAN-MOTOR
a)
Pejalan Kaki
456. Dasar-dasar mengenai pejalan kaki dibincangkan di dalam Bab 14: Reka Bentuk Bandar dan Landskap.
457. Satu persekitaran mesra pejalan kaki akan diwujudkan bagi seluruh Bandar Raya denganpenekanan khusus di Pusat Bandar Raya dan pusat-pusatbandar lain. Rangkaian pejalankaki di Pusat Bandar Raya akan menitikberatkan perhubungankemudahan pengangkutan awam dan menggabungkan elemen-elemen reka bentuk bandar. Satu cadangan taman di lingkaran PRT yang merentasi taman di bahagian barat Pusat Bandar Raya akan dihubungkan ke laluan PRT sedia ada dan menjadi pelengkap kepada rangkaian pejalan kaki.
458. Perhatian khusus akan diberikan kepada kawasan di sekitar stesen tukaran pengangkutan utama bagi memastikan ia menggabungkan kemudahan-kemudahan yang membolehkannya mudah sampai kepada orang tua dan kurang upaya.
Dasar:
TT 17: DBKL akan menyediakan garis panduan dan piawaian bagi keperluan warga tua dan kurang upaya untuk diguna pakai pada rangkaian pejalan kaki, terminal dan stesen pengangkutan awam baru serta stesen-stesen pertukaran pelbagai mod.
b)Basikal
Penggunaan basikal boleh dan harus terus digalakkan sebagai satu bentuk riadah dan sebagai satu alternatif pengangkutan persendirian bagi perjalanan pendek di kawasan perumahan dan rekreasi.
Dasar:
TT 18: DBKL akan membaiki rangkaian laluan basikal dan mempromosikan aktiviti berbasikal di kawasan perumahan dan rekreasi.
10.4.6 PENGANGKUTAN BARANGAN
Tempat letak lori yang mencukupi bagi manfaat pemilik lori barangan berat yang tinggal di Bandar Raya akan disediakan supaya mereka tidak meletakkan kenderaan di kawasan perdagangan dan perumahan. Tempattempat letak lori ini akan juga mengandungi kemudahan-kemudahan untuk koc dan kenderaan binaan.
Dasar:
TT 19: DBKL akan menyediakan tempat letak kenderaan dan kemudahan tambahan untuk kenderaan barangan berat, koc dan kenderaan binaan di lokasilokasi yang sesuai di pinggir Bandar Raya
http://www.dbkl.gov.my/pskl2020/malay/pengangkutan/index.htm#keperluan
Sunday, 28 June 2015
PENCEMARAN UDARA
APAKAH benar ramai di antara kita tidak menghiraukan pencemaran alam di
sekeliling kita? Itulah sebabnya kebanyakan penduduk negara ini tidak
prihatin, malah tidak mengendahkan pelbagai usaha dilakukan pihak berkuasa
untuk memelihara alam sekitar.
Salahkah anggapan bahawa rakyat negara ini pada keseluruhannya tidak
dapat menghayati kehendak alam sekeliling dan sukar memahami bahawa
tindak-tanduk mereka walaupun dianggap remeh, jika dibiar berleluasa boleh
mencemari alam semula jadi.
Tidak hairanlah jika ada jiran kita sendiri terus membakar sampah di
halaman rumah, membuang sisa dapur ke dalam longkang di tepi rumah atau
membiarkan sampah-sarap di merata-rata. Kita juga amat kurang komitmen
dalam usaha mengitar semula pelbagai barang yang sudah digunakan.
Jika ada sekali pun di kalangan kita yang lebih prihatin dan menegur
jiran membakar sampah, tidak mustahil mereka ini diherdik: "Bakar sikit
saja takkan boleh mencemar keadaan sekeliling."
Bagaimana pula dengan pelbagai jabatan dan agensi kerajaan termasuk,
pihak berkuasa tempatan serta sektor swasta seperti pengilang, pengusaha
dan pelbagai syarikat kecil, sederhana dan besar? Apakah semuanya prihatin
terhadap usaha memelihara alam sekeliling?
Sedihnya tidak banyak di antara pengusaha dan syarikat, mahu pun orang
ramai yang mempunyai kesedaran terhadap pentingnya persekitaran alam
dipelihara supaya tidak tercemar. Ramai seolah-olah tidak menghiraukan
kualiti kehidupan mereka sendiri hanya kerana pentingkan keuntungan jangka
pendek.
Keadaan ini amat berbeza dengan rakyat dan syarikat di negara maju yang
umumnya sedar tanggungjawab mereka terhadap persekitaran dan betapa
pentingnya memelihara kualiti kehidupan.
Tidak hairanlah di negara kita pelbagai syarikat pembuat, pengusaha,
pemaju dan sebagainya akan mematuhi peraturan memelihara alam sekitar
hanya bila ada pemantauan dan tindakan penguatkuasaan. Biasanya mereka
akan mencari jalan untuk memintas segala peraturan yang ada kerana tidak
ada kesedaran terhadap pentingnya alam sekitar tidak dicemari.
Apa tidaknya kalau dilihat daripada pelbagai tindak-tanduk pihak
berkenaan itu. Orang ramai yang mendiami tepi sungai terus menganggap
sungai sebagai tempat membuang sampah. Kilang berterusan membuang sisa
pepejal dan kimia ke dalam longkang atau sungai berdekatan. Ada juga
kilang yang membakar bahan buangan pada sebelah malam apabila tidak ada
usaha penguatkuasaan.
Pemaju pula terus memusnahkan persekitaran apabila membangunkan kawasan
perumahan dengan menggondolkan tanah daripada segala tumbuhan, tanpa
menyediakan tempat takungan supaya air hujan tidak terus mengalir ke
sungai dan boleh menyebabkan banjir.
Demikian pula penempatan haram terus diusahakan hingga ke kawasan hutan
simpan tanpa sekatan oleh mana-mana pihak berkuasa tempatan. Kilang haram
juga dibiarkan terus beroperasi mencemari kawasan persekitaran mereka
dengan membuang sisa ke dalam longkang atau sungai berhampiran.
Usaha untuk membanteras keadaan begini biasanya dihalang oleh pihak
tertentu yang berkepentingan, termasuk ahli politik yang kononnya
menganggap sebarang tindakan ke atas kilang haram itu boleh menjejas
pekerjaan ramai pengundi mereka.
Jelas sekali kesedaran dan komitmen rakyat, pihak berkuasa dan swasta
terhadap usaha memelihara alam sekitar supaya tidak terus tercemar amat
berkurangan. Apa yang perlu dilakukan kerajaan ialah berusaha memberikan
kesedaran secara berterusan kepada seluruh rakyat mengenai pentingnya
persekitaran dipelihara dan tidak dimusnahkan.
Kerana kurangnya kesedaran inilah, persekitaran terus dicemari dan
begitu banyak sungai di negara ini yang kini dilanda pencemaran amat teruk
sehingga ada yang boleh dikatakan sudah `mati' seperti Sungai Juru di
Seberang Prai, Sungai Seget di Johor Bahru dan Sungai Korok di Alor Star,
manakala banyak pula yang lainnya sudah tidak lagi dapat menampung
kehidupan ikan.
Ramai pula penduduk tidak memahami fungsi hutan paya dalam pemeliharaan
ekosistem dan sumber laut. Jadi tidak hairan sudah berapa banyak kawasan
paya bakau ditambak untuk dimajukan sebagai tapak hotel di tepi laut atau
digunakan untuk ternakan udang.
Malah bukan saja hutan simpan yang hendak dimajukan, hutan paya bakau
dan paya gambut yang menjadi sebahagian penting ekosistem turut mahu
dimajukan oleh pemaju perumahan baik di Pulau Pinang, Kedah atau Perak.
Pembangunan dengan menghapuskan hutan paya ini menjejaskan keadaan laut
dan sumber di persekitarannya. Hanya kini dengan berlakunya kemusnahan
beberapa kawasan pantai yang dipukul tsunami pada 26 Disember lalu, baru
ada kesedaran betapa pentingnya paya bakau dipelihara kerana selain
daripada fungsinya memelihara ekosistem, ia juga boleh menjadi benteng
untuk mengurangkan kesan pukulan ombak.
Di antara sungai yang teruk tercemar ialah Sungai Klang dan anak
sungainya iaitu Sungai Bunus dan Sungai Gombak yang mengalir merentasi
sebahagian besar Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Akhbar ini pada 2003
pernah berusaha untuk mendapatkan sokongan pelbagai pihak kerajaan, swasta
dan orang ramai melaksanakan usaha untuk memulihara Sungai Klang melalui
beberapa siri rencana mengenainya. Malangnya, usaha itu tidak mendapat
sokongan dan keadaan Sungai Klang yang teruk tercemar sedikit pun tidak
berubah.
Sungai Klang sebenarnya boleh menjadi penyeri ibu kota dan digunakan
untuk kepentingan pelancongan seperti dilakukan di beberapa negara luar
yang berjaya membersihkan sungai yang tercemar seperti Sungai Singapura,
Sungai Thames (London), Sungai Hudson (New York) dan Sungai Rhine
(Jerman). Apa yang diperlukan ialah komitmen dan kesungguhan pihak
berkuasa untuk melakukannya.
Di Singapura misalnya, pemerintahnya bermula dengan mengenal pasti punca
pencemaran yang terdiri daripada pelbagai kegiatan di sepanjang sungai.
Dengan itu, ia menempatkan semula sekitar 26,000 keluarga yang tinggal di
sepanjang tebing sungai ke rumah pangsa yang dibina pemerintah.
Kira-kira 5,000 penjaja dipindahkan ke pusat jualan makanan, kilang yang
dikenal pasti mencemarkan sungai berkenaan, dipindahkan ke kawasan khas
perindustrian. Selain itu, lebih 200 tan sampah dikaut dari sungai,
manakala lorong pejalan kaki di sepanjang sungai diadakan. Kawasan
rekreasi juga dibina di sepanjang sungai, manakala pasir diimport untuk
dijadikan `pantai' untuk semua. Usaha ini amat berjaya dengan sungai itu
kini antara tarikan utama pelancongan.
Apakah usaha pembersihan begini tidak boleh dilakukan? Yang perlu ialah
menyediakan senarai punca pencemaran dan selepas itu tindakan dilakukan
secara tegas dan saksama. Jika ada kemahuan apa pun boleh dilakukan.
Diharapkan dengan saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad
Badawi, minggu lalu yang menghendaki sebuah konsortium diwujudkan di
kalangan swasta untuk membersihkan ke tiga-tiga sungai itu, usaha
berkenaan akan dapat dilakukan.
Sebenarnya, suatu projek pembersihan dan pemulihan Sungai Klang pernah
dilancarkan pada 1990 antara Jabatan Pengairan dan Saliran dengan
kerjasama Jabatan Alam Sekitar, Urusetia Perancangan Lembah Klang dan
Kementerian Sains, Teknologi dan Alam Sekitar ketika itu.
Projek berkenaan bertujuan membersih sungai daripada kotoran sampah-
sarap dan kelodak serta memulih semula imej Sungai Klang sebagai sumber
air bagi Lembah Klang. Bagaimanapun, projek itu gagal mencapai matlamatnya
kerana kualiti airnya masih tidak dapat dipulihkan lebih-lebih lagi
daripada sisa organik, sisa kimia, sisa terampai dan sisa pepejal.
Apa pun, kini satu usaha drastik perlu dilakukan jika ketiga-tiga sungai
yang merentasi Lembah Klang itu hendak dibersihkan. Perkampungan di tebing
sungai seperti juga kilang, baik yang berlesen mahu pun yang haram harus
dipindahkan. Mereka yang degil hendaklah dikenakan tindakan.
Satu siri penerangan juga harus diberikan kepada semua supaya majoriti
akan bersimpati dengan usaha ini dan tidak lagi menganggap ketiga-tiga
sungai berkenaan sebagai saluran membuang sampah dan sisa perindustrian,
sisa pasar basah, bahan kumbahan yang tidak dirawat serta sampah-sarap
kilang.
Kerajaan Selangor sudah membuat keputusan hendak mendapatkan air dari
Pahang bagi menampung permintaan air bersih yang semakin meningkat di
kawasan Lembah Klang berikutan pengalaman pahit yang melanda kawasan itu
pada 1998 apabila bekalan air terpaksa dicatu untuk pengguna di Lembah
Klang.
Ramai pencinta alam mengharapkan dengan usaha pemulihan itu, Sungai
Klang akan dapat dijadikan sumber utama untuk menampung keperluan bekalan
air di Lembah Klang. Kerajaan Selangor dengan itu tidak lagi perlu
mendapatkan bekalan air mentah dari Sungai Pahang seperti yang dirancang.
Ini bukan saja dapat menjimatkan perbelanjaan yang mencecah lebih RM4
bilion, malah akan dapat menghindar daripada pencemaran alam sekitar
sekiranya beberapa ampangan dan terowong sejauh 44 kilometer tidak lagi
diperlukan.
SPAD YAKIN BOLEH TRANSFORMASI PENGANGKUTAN AWAM SEBELUM 2020
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) yakin dapat mentransformasi sepenuhnya sistem pengangkutan awam darat di negara ini menjelang 2020.
Pengerusinya, Tan Sri Syed Hamid Albar, berkata SPAD sedang melaksanakan pelbagai langkah bagi menambah baik pengangkutan darat termasuk membabitkan kenderaan berat.
"Sistem pengangkutan negara kita tidak pernah diselarikan dengan kemajuan dan pembangunan negara... Bagi kami masa untuk ubah dan tambah baik kerana untuk ubah sesuatu sistem yang dah lama wujud bukan boleh siap dalam sehari," katanya kepada Bernama, di sini.
Katanya walaupun SPAD menerima banyak tentangan terhadap usaha yang dilakukan, beliau menganggap halangan itu petunjuk bahawa mereka berada di landasan yang betul.
"Sebenarnya keadaan fizikal sistem pengangkutan negara kita baik tetapi saya yakin ia mampu menjadi lebih efisien dan cemerlang sekiranya mendapat kerjasama pihak pengendali pengangkutan di luar sana untuk menjadikannya lebih cemerlang," katanya.
Sejak ditubuhkan 2010, SPAD melaksanakan beberapa pembaharuan bagi menambah baik pengangkutan awam, khususnya di Lembah Klang dan yang terkini memperkenalkan perkhidmatan bas percuma Go-KL City Bus yang mencetuskan kemarahan segelintir pengusaha teksi.
Menjawab isu itu, Syed Hamid yang mengakui ramai pemandu terasa diri mereka dianiaya dengan tindakan tersebut, berkata tanggungjawab SPAD memastikan orang awam mendapat perkhidmatan yang baik.
"Jika mereka marah dengan perkhidmatan bas percuma Go-KL, perkara itu tidak sepatutnya kerana perkhidmata cuma melibatkan dua laluan dan saya yakin jika perkhidmatan yang disediakan teksi memuaskan, penumpang termasuk pelancong akan menggunakan perkhidmatan mereka," katanya.
Perkhidmatan bas percuma itu hanya meliputi Laluan Hijau (KLCC-Bukit Bintang) sejauh 7.4 kilometer dan Laluan Ungu (Hab Pasar Seni-Bukit Bintang) sejauh 6.5 km.
Syed Hamid juga mendedahkan perkhidmatan rel iaitu komuter dan tren elektrik Keretapi Tanah Melayu Berhad paling banyak menerima rungutan orang ramai kerana sering lewat dan tidak efektif.
Perkara itu katanya sedang ditangani termasuk dengan penambahan 36 gerabak baru.
Mengenai Pekeliling SPAD berhubung had muatan lori yang dikuat kuasa 25 September lalu, Syed Hamid berkata pekeliling itu bagi memastikan menjamin keselamatan pengguna jalan raya yang lain.
"Pekeliling itu untuk memastikan pengendali lori tidak terlalu tamak membawa muatan sehingga membahayakan pengguna jalan raya yang lain serta merosakan jalan.
"Jika jalan raya rosak, untuk membaikinya menggunakan duit cukai dan ia adalah hasil kutipan cukai rakyat," katanya. – BERNAMA
sumber:http://www2.bharian.com.my/bharian/articles/SPADyakinbolehtransformasipengangkutanawamsebelum2020/m/mArticle
CONTOH KARANGAN FAKTOR KEMALANGAN JALAN RAYA
] Memang tidak dapat dinafikan bahawa kemalangan jalan raya saban tahun semakin meningkat dari hari ke hari. Setiap hari sama ada di kaca-kaca televisyen, di dada-dada akhbar mahupun di corong-corong radio pasti ada sahaja dipaparkan kemalangan jalan raya yang meragut nyawa manusia. [AR-A.Tanya] Murah sangatkah nyawa manusia sehingga banyak jiwa yang terkorban di jalan raya? Jika hal ini dibiarkan berterusan, sudah tentu merugikan sesebuah negara. [AA] Oleh itu,punca-punca kemalangan jalan raya perlu dikenal pasti segera sebelum isu ini menjadi lebih parah lagi. [80 pp]
Perenggan Isi 1 : Sikap Pemandu Itu Sendiri – 5 Ayat
[AP] Punca yang paling signifikan penyebab berlakunya kemalangan jalan raya ialah sikap pemandu itu sendiri. [AH-Mengapa?] Hal ini disebabkan pemandu bersikap mementingkan diri, tidak sabar ketika berada di jalan raya dan tidak mematuhi peraturan jalan raya. [AC] Sebagai contoh, pemandu kenderaan memandu kereta dengan laju tanpa mematuhi had laju yang dibenarkan. [AH-Kesan?] Secara tidak langsung, pemandu bukan sahaja mempertaruhkan nyawa sendiri malah nyawa pengguna jalan raya yang lain. [AP] Oleh itu, sikap berhati-hati di jalan raya dan Biar Lambat Asal Selamat akan dapat menghindarkan kemalangan maut daripada berlaku. [78 pp]
Perenggan Isi 2 : Keadaan Struktur Jalan Raya – 5 Ayat
[AP] Punca seterusnya penyebab berlakunya kemalangan jalan raya ialah Keadaan struktur jalan raya. [AH-Mengapa?] Keadaan jalan raya yang berlubang-lubang, sempit dan rata sudah pasti mengundang bahaya kepada pengguna jalan raya. [AC] Sebagai contoh, jalan raya yang bengkang-bengkok, selekoh tajam akan memudahkan pemandu yang tidak biasa jalan tersebut terbabas dan terlibat dalam kemalangan jalan raya. [AH-Bagaimana?] Oleh itu, pihak kerajaan perlu mengambil inisiatif segera memperbaiki struktur jalan raya yang membahayakan nyawa pengguna jalan raya.. [AP] Tegasnya sebelum Nasi Menjadi Bubur, struktur jalan raya perlu diberi keutamaan terlebih dahulu agar keselamatan pengguna-pengguna jalan raya terjamin. [86 pp]
Perenggan Isi 3 : Keadaan Kenderaan – 5 Ayat
[AP] Keadaan kenderaan yang tidak diselenggara dengan baik juga menjadi punca berlakunya kemalangan jalan raya. [AH-Mengapa?] Keadaan kenderaan yang tidak diselenggara mengikut jadual yang telah ditetapkan boleh mengundang malapetaka kepada pemandunya. [AC] Sebagai contoh, brek kenderaan yang tidak berfungsi dengan baik akan menyebabkan pemandu sukar mengawal kenderaan ketika saat-saat kecemasan. [AH-Kesan?] Impaknya, pemandu akan mudah tersasar dan berlakunya kemalangan jalan raya ketika ingin menghentikan kenderaan secara kecemasan. [AP] Jelaslah, kenderaan hendaklah diselenggara dengan baik sebelum memulakan perjalanan yang jauh kerana Malang Tidak Berbau. [76 pp]
Perenggan Isi 4 : Undang-undang – 5 Ayat
[AP] Penguatkuasaan undang-undang yang lemah juga merupakan salah satu punca berlaku kemalangan jalan raya. [AH-Mengapa?] Dendaan dan kompaun sebanyak RM300 bagi kesalahan berat seperti memandu melebihi had laju, melanggar lampu isyarat merah tidak berkesan kerana pemandu mampu bayar. [AC] Selain itu, Ops Sikap dan sekatan jalan raya hanya giat dijalankan ketika musim-musim perayaan. [AH-Kesan?] Impaknya, pemandu tidak gentar melakukan kesalahan di jalan raya kerana mereka mampu membayar denda yang dikenakan dan beranggapan operasi hanya dilakukan pada waktu-waktu tertentu sahaja. [AP] Jadi, penguatkuasaan undang-undang yang lebih tegas dan pemantauan di kawasan berbahaya hendaklah diambil untuk mengelakkan daripada berlakunya kemalangan maut. [93 pp]
Kesimpulan.
[Rumusan] Semua pihak perlulah bekerjasama bagai aur dengan tebing bagi menangani isu kemalangan jalan raya ini. [Cadangan] Segala usaha yang dilaksanakan hendaklah berterusan dan istiqomah bukannya sekadar hangat-hangat tahi ayam ataupun sekadar melepaskan batuk di tangga sahaja. [Pendapat] Jangan sampai sudah terhantuk, baru nak terngadah, barulah inisiatif dirangka untuk mengatasi kemalangan jalan raya. Isu kemalangan ini tidak boleh dipandang sebelah mata sahaja kerana impaknya sangat besar kepada negara terutamanya kerugian sumber tenaga yang produktif. [Harapan] Slogan Pandu Cermat Jiwa Selamat hendaklah dijadikan pedoman bagi semua pengguna jalan raya agar nyawa mereka terselamat. Ingat, jangan jadikan lebuh raya sebagai gelanggang perlumbaan mahupun pusara kerana nyawa manusia merupakan satu anugerah yang perlu dihargai
.
Sumber:http://kamarularnizam.blogspot.com/p/contoh-karangan-bahasa-melayu-a.html
Subscribe to:
Posts (Atom)