Sunday, 28 June 2015

PENCEMARAN UDARA

APAKAH benar ramai di antara kita tidak menghiraukan pencemaran alam di sekeliling kita? Itulah sebabnya kebanyakan penduduk negara ini tidak prihatin, malah tidak mengendahkan pelbagai usaha dilakukan pihak berkuasa untuk memelihara alam sekitar. Salahkah anggapan bahawa rakyat negara ini pada keseluruhannya tidak dapat menghayati kehendak alam sekeliling dan sukar memahami bahawa tindak-tanduk mereka walaupun dianggap remeh, jika dibiar berleluasa boleh mencemari alam semula jadi. Tidak hairanlah jika ada jiran kita sendiri terus membakar sampah di halaman rumah, membuang sisa dapur ke dalam longkang di tepi rumah atau membiarkan sampah-sarap di merata-rata. Kita juga amat kurang komitmen dalam usaha mengitar semula pelbagai barang yang sudah digunakan. Jika ada sekali pun di kalangan kita yang lebih prihatin dan menegur jiran membakar sampah, tidak mustahil mereka ini diherdik: "Bakar sikit saja takkan boleh mencemar keadaan sekeliling." Bagaimana pula dengan pelbagai jabatan dan agensi kerajaan termasuk, pihak berkuasa tempatan serta sektor swasta seperti pengilang, pengusaha dan pelbagai syarikat kecil, sederhana dan besar? Apakah semuanya prihatin terhadap usaha memelihara alam sekeliling? Sedihnya tidak banyak di antara pengusaha dan syarikat, mahu pun orang ramai yang mempunyai kesedaran terhadap pentingnya persekitaran alam dipelihara supaya tidak tercemar. Ramai seolah-olah tidak menghiraukan kualiti kehidupan mereka sendiri hanya kerana pentingkan keuntungan jangka pendek. Keadaan ini amat berbeza dengan rakyat dan syarikat di negara maju yang umumnya sedar tanggungjawab mereka terhadap persekitaran dan betapa pentingnya memelihara kualiti kehidupan. Tidak hairanlah di negara kita pelbagai syarikat pembuat, pengusaha, pemaju dan sebagainya akan mematuhi peraturan memelihara alam sekitar hanya bila ada pemantauan dan tindakan penguatkuasaan. Biasanya mereka akan mencari jalan untuk memintas segala peraturan yang ada kerana tidak ada kesedaran terhadap pentingnya alam sekitar tidak dicemari. Apa tidaknya kalau dilihat daripada pelbagai tindak-tanduk pihak berkenaan itu. Orang ramai yang mendiami tepi sungai terus menganggap sungai sebagai tempat membuang sampah. Kilang berterusan membuang sisa pepejal dan kimia ke dalam longkang atau sungai berdekatan. Ada juga kilang yang membakar bahan buangan pada sebelah malam apabila tidak ada usaha penguatkuasaan. Pemaju pula terus memusnahkan persekitaran apabila membangunkan kawasan perumahan dengan menggondolkan tanah daripada segala tumbuhan, tanpa menyediakan tempat takungan supaya air hujan tidak terus mengalir ke sungai dan boleh menyebabkan banjir. Demikian pula penempatan haram terus diusahakan hingga ke kawasan hutan simpan tanpa sekatan oleh mana-mana pihak berkuasa tempatan. Kilang haram juga dibiarkan terus beroperasi mencemari kawasan persekitaran mereka dengan membuang sisa ke dalam longkang atau sungai berhampiran. Usaha untuk membanteras keadaan begini biasanya dihalang oleh pihak tertentu yang berkepentingan, termasuk ahli politik yang kononnya menganggap sebarang tindakan ke atas kilang haram itu boleh menjejas pekerjaan ramai pengundi mereka. Jelas sekali kesedaran dan komitmen rakyat, pihak berkuasa dan swasta terhadap usaha memelihara alam sekitar supaya tidak terus tercemar amat berkurangan. Apa yang perlu dilakukan kerajaan ialah berusaha memberikan kesedaran secara berterusan kepada seluruh rakyat mengenai pentingnya persekitaran dipelihara dan tidak dimusnahkan. Kerana kurangnya kesedaran inilah, persekitaran terus dicemari dan begitu banyak sungai di negara ini yang kini dilanda pencemaran amat teruk sehingga ada yang boleh dikatakan sudah `mati' seperti Sungai Juru di Seberang Prai, Sungai Seget di Johor Bahru dan Sungai Korok di Alor Star, manakala banyak pula yang lainnya sudah tidak lagi dapat menampung kehidupan ikan. Ramai pula penduduk tidak memahami fungsi hutan paya dalam pemeliharaan ekosistem dan sumber laut. Jadi tidak hairan sudah berapa banyak kawasan paya bakau ditambak untuk dimajukan sebagai tapak hotel di tepi laut atau digunakan untuk ternakan udang. Malah bukan saja hutan simpan yang hendak dimajukan, hutan paya bakau dan paya gambut yang menjadi sebahagian penting ekosistem turut mahu dimajukan oleh pemaju perumahan baik di Pulau Pinang, Kedah atau Perak. Pembangunan dengan menghapuskan hutan paya ini menjejaskan keadaan laut dan sumber di persekitarannya. Hanya kini dengan berlakunya kemusnahan beberapa kawasan pantai yang dipukul tsunami pada 26 Disember lalu, baru ada kesedaran betapa pentingnya paya bakau dipelihara kerana selain daripada fungsinya memelihara ekosistem, ia juga boleh menjadi benteng untuk mengurangkan kesan pukulan ombak. Di antara sungai yang teruk tercemar ialah Sungai Klang dan anak sungainya iaitu Sungai Bunus dan Sungai Gombak yang mengalir merentasi sebahagian besar Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Akhbar ini pada 2003 pernah berusaha untuk mendapatkan sokongan pelbagai pihak kerajaan, swasta dan orang ramai melaksanakan usaha untuk memulihara Sungai Klang melalui beberapa siri rencana mengenainya. Malangnya, usaha itu tidak mendapat sokongan dan keadaan Sungai Klang yang teruk tercemar sedikit pun tidak berubah. Sungai Klang sebenarnya boleh menjadi penyeri ibu kota dan digunakan untuk kepentingan pelancongan seperti dilakukan di beberapa negara luar yang berjaya membersihkan sungai yang tercemar seperti Sungai Singapura, Sungai Thames (London), Sungai Hudson (New York) dan Sungai Rhine (Jerman). Apa yang diperlukan ialah komitmen dan kesungguhan pihak berkuasa untuk melakukannya. Di Singapura misalnya, pemerintahnya bermula dengan mengenal pasti punca pencemaran yang terdiri daripada pelbagai kegiatan di sepanjang sungai. Dengan itu, ia menempatkan semula sekitar 26,000 keluarga yang tinggal di sepanjang tebing sungai ke rumah pangsa yang dibina pemerintah. Kira-kira 5,000 penjaja dipindahkan ke pusat jualan makanan, kilang yang dikenal pasti mencemarkan sungai berkenaan, dipindahkan ke kawasan khas perindustrian. Selain itu, lebih 200 tan sampah dikaut dari sungai, manakala lorong pejalan kaki di sepanjang sungai diadakan. Kawasan rekreasi juga dibina di sepanjang sungai, manakala pasir diimport untuk dijadikan `pantai' untuk semua. Usaha ini amat berjaya dengan sungai itu kini antara tarikan utama pelancongan. Apakah usaha pembersihan begini tidak boleh dilakukan? Yang perlu ialah menyediakan senarai punca pencemaran dan selepas itu tindakan dilakukan secara tegas dan saksama. Jika ada kemahuan apa pun boleh dilakukan. Diharapkan dengan saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, minggu lalu yang menghendaki sebuah konsortium diwujudkan di kalangan swasta untuk membersihkan ke tiga-tiga sungai itu, usaha berkenaan akan dapat dilakukan. Sebenarnya, suatu projek pembersihan dan pemulihan Sungai Klang pernah dilancarkan pada 1990 antara Jabatan Pengairan dan Saliran dengan kerjasama Jabatan Alam Sekitar, Urusetia Perancangan Lembah Klang dan Kementerian Sains, Teknologi dan Alam Sekitar ketika itu. Projek berkenaan bertujuan membersih sungai daripada kotoran sampah- sarap dan kelodak serta memulih semula imej Sungai Klang sebagai sumber air bagi Lembah Klang. Bagaimanapun, projek itu gagal mencapai matlamatnya kerana kualiti airnya masih tidak dapat dipulihkan lebih-lebih lagi daripada sisa organik, sisa kimia, sisa terampai dan sisa pepejal. Apa pun, kini satu usaha drastik perlu dilakukan jika ketiga-tiga sungai yang merentasi Lembah Klang itu hendak dibersihkan. Perkampungan di tebing sungai seperti juga kilang, baik yang berlesen mahu pun yang haram harus dipindahkan. Mereka yang degil hendaklah dikenakan tindakan. Satu siri penerangan juga harus diberikan kepada semua supaya majoriti akan bersimpati dengan usaha ini dan tidak lagi menganggap ketiga-tiga sungai berkenaan sebagai saluran membuang sampah dan sisa perindustrian, sisa pasar basah, bahan kumbahan yang tidak dirawat serta sampah-sarap kilang. Kerajaan Selangor sudah membuat keputusan hendak mendapatkan air dari Pahang bagi menampung permintaan air bersih yang semakin meningkat di kawasan Lembah Klang berikutan pengalaman pahit yang melanda kawasan itu pada 1998 apabila bekalan air terpaksa dicatu untuk pengguna di Lembah Klang. Ramai pencinta alam mengharapkan dengan usaha pemulihan itu, Sungai Klang akan dapat dijadikan sumber utama untuk menampung keperluan bekalan air di Lembah Klang. Kerajaan Selangor dengan itu tidak lagi perlu mendapatkan bekalan air mentah dari Sungai Pahang seperti yang dirancang. Ini bukan saja dapat menjimatkan perbelanjaan yang mencecah lebih RM4 bilion, malah akan dapat menghindar daripada pencemaran alam sekitar sekiranya beberapa ampangan dan terowong sejauh 44 kilometer tidak lagi diperlukan.

No comments:

Post a Comment