Kuala Lumpur, 24 Oktober 2011 -
Dilahirkan di Petaling Jaya dan membesar di Lembah Klang, Datuk Shahril Mokhtar
amat faham tentang kemudahan sistem pengangkutan awam. Lebih tepat lagi,
tentang ketidak-selesaan yang perlu ditanggung oleh para pengguna pengangkutan
awam khususnya bas.
Menerima pendidikan awal di Sekolah
Rendah St. John, Bukit Nanas, Pengarah Urusan Kumpulan Syarikat PRASARANA
Negara Berhad (PRASARANA) itu – seperti juga ramai wargakota seperti beliau -
cukup kagum dengan keberanian dan kecekapan para pemandu bas mini, yang menjadi
pengangkutan wargakota pada tahun 1980an. Sesak dengan penumpang sehingga
menjulur keluar pintu dan berleluasa dengan kes penyeluk saku dan penumpang
lelaki biadap, yang sentiasa mengambil kesempatan ke atas penumpang wanita.
Kenderaan Bas Sri Jaya, yang menjadi
pilihan Shahril ketika menuntut di Sekolah Menengah Lembah Keramat sehingga
akhir 1989, juga tidak kurang dengan kes wanita kena raba dan penyeluk saku di
samping kisah lapuk mengenai perkhidmatan kelas murah dengan para penumpang
yang bersesak-sesak.
“Saya membesar di Lembah Klang dalam
era bas mini dan bas Sri Jaya ini. Dan, saya rasa seluruh wargakota cukup faham
dengan keadaan tidak selesa ketika itu. Kisah pemandu bas mini seperti berlumba
di jalanraya; bas Sri Jaya yang tidak kering dengan rungutan. Jika dibandingkan
dengan sekarang, kita sudah maju berpuluh kali ganda. Tetapi, jika anda tanya
saya, masih terlalu banyak ruang yang boleh dibaiki.
“Sasaran saya adalah untuk menjadikan
sistem pengangkutan awam negara ini berkelas dunia. Itulah juga yang menjadi
matlamat operasi PRASARANA sekarang – menyediakan sistem pengangkutan awam yang
kita boleh banggakan,” kata Shahril, yang dianugerahkan Darjah Indera Mahkota
Pahang bersempena Hari Keputeraan Sultan Pahang pada 24 Oktober.
Ditubuhkan pada 11 Ogos 1998, PRASARANA
adalah syarikat milik penuh kerajaan yang diamanahkan Kerajaan untuk
meningkatkan lagi standard sistem pengangkutan awam negara. Bersama-sama dengan
anak-anak syarikatnya, PRASARANA juga dipertanggungjawabkan untuk mengendalikan
perkhidmatan-perkhidmatan awam utama di Lembah Klang.
Selepas mengambil alih operasi LRT
PUTRA dan STAR pada 30 Ogos 2002, PRASARANA mengambil alih aset syarikat bas
Cityliner pada bulan April 2004 sebelum meluaskan operasinya kepada KL Monorail
pada Disember 2007. Turut menjadi sebahagian daripada operasi PRASARANA
sekarang adalah perkhidmatan kereta kabel Langkawi, yang kini bergelar Panorama
Langkawi, dan perkhidmatan bas awam Pulau Pinang di bawah nama RapidPenang.
“PRASARANA juga akan turut
bertanggungjawab untuk operasi MRT (My Rapid Transit). Projek itu bermula
dengan kami; tetapi urusan pembinaannya kini dipertanggungjawabkan kepada
syarikat MRT Co. Selepas siap nanti, ia akan diserahkan semula kepada PRASARANA
dan di bawah perancangan, operasi MRT kami akan bermula pada 2017.
“Jadi, secara keseluruhan, kami di
PRASARANA memegang amanah kerajaan yang cukup besar untuk mentransformasi
sistem pengangkutan awam negara dengan Lembah Klang menjadi nadi kepada
transformasi ini,” kata Shahril, yang dilantik sebagai Pengarah Urusan Kumpulan
pada bulan Oktober tahun lepas.
Melangkah ke PRASARANA daripada
Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) di mana beliau menjadi Ketua Pegawai
Operasi, Shahril secara jujur mengaku bahawa sistem pengangkutan yang ada
sekarang belum mencapai tahap yang memuaskan hati orang awam.
“Perkara ini diakui sendiri oleh
Kerajaan; malahan YAB Perdana Menteri sendiri. Walaupun sudah meningkat; tetapi
belum sampai ke tahap yang memuaskan hati orang awam. Kita sendiri boleh baca
rungutan para pengguna hampir setiap hari dalam suratkhabar, dalam Twitter dan
dalam Facebook.
“Tetapi, kita mahu mengubah perkara ini
dan saya lihat kerajaan pimpinan YAB Datuk Seri Najib begitu komited terhadap
perkara ini. Ini dipancarkan melalui penubuhan SPAD itu sendiri. Ia juga
terpancar dalam Pelan Transformasi Kerajaan, yang meletakkan trans formasi
pengangkutan awam sebagai salah satu daripada enam bidang dalam NKRA,” kata
graduan Universiti Missouri, Amerika Syarikat dalam jurusan Psikologi Industri
dan Organisasi.
“Secara peribadi, saya secara jujur
mengatakan bahawa saya tidak pernah melihat seorang Perdana Menteri yang begitu
serius dalam mempertingkatkan pengangkutan awam,” kata Shahril, yang mengakui
bahawa perjalanan dalam mentransformasi pengangkutan awam negara masih jauh.
“Sekarang ini, keberkesanan sistem
pengangkutan awam dalam menyokong keperluan pengangkutan sekarang hanyalah 14
peratus. Kita masih jauh dalam mencapai sasaran 25 peratus yang ditetapkan pada
akhir tahun depan. Kerana itu, kita perlu bergerak pantas
“Tetapi, kami di PRASARANA akan
menyahut cabaran ini. Bagaimanapun, kita perlu menerima hakikat bahawa
transformasi ini tidak akan mengambil masa minggu ataupun bulan. Sebaliknya, ia
memerlukan tahun dan ia memerlukan komitmen dan dedikasi,” tegas Shahril, yang
merupakan antara tokoh yang bertanggungjawab untuk penubuhan SPAD.
Ketika berkhidmat sebagai Pengurus
Besar Strategi dan Perancangan Korporat RapidKL, Shahril dipinjamkan kepada
interim SPAD antara bulan Disember 2009 dan April 2010 bagi membantu Kerajaan
dalam penubuhan suruhanjaya berkenaan, yang bertanggungjawab dalam merancang,
menyelia dan menguatkuasa semua hal yang berkaitan pengangkutan awam.
Sebelum itu, beliau juga pernah
dipinjamkan ke Kementerian Pengangkutan pada tahun 2009 untuk menjadi Timbalan
Ketua dalam Makmal Pengangkutan Awam Bandar (UPT) di bawah Bidang Keberhasilan
Utama Negara (NKRA) bagi membantu Kerajaan membangunkan inisiatif-inisiatif
utama pengangkutan awam Bandar.
Dalam memikat orang ramai untuk
mengubah sikap dan menggunakan pengangkutan awam, PRASARANA telah
melaksanakan pelbagai program peningkatan kualiti perkhidmatan seperti
memperkenalkan perkhidmatan Bas Expressway Transit (BET) dan Fleet Tracking
System (FTS) di samping menaik-taraf hab bas dan laluan baru serta meningkatkan
frekuensi serta pembelian bas-bas baru.
“Di samping membeli bas-bas baru dengan
kemudahan akses universal, kami turut menaik-taraf sebilangan bas-bas sekarang
untuk mesra OKU,” kata Shahril, yang turut memiliki ijazah Sarjana dalam
Pengurusan dari Universiti Malaya.
Untuk perkhidmatan LRT, kami
telah meningkatkan kekerapan tren sekali gus mengurangkan waktu menunggu
sehingga kurang daripada 2 minit. Kami juga membeli tren-tren baru empat gerabak
untuk laluan Kelana Jaya dan kini dalam proses menambah bilangan tren enam
gerabak untuk laluan LRT Ampang.
“Kami juga menambah kemudahan-kemudahan
di stesen di samping menaik-taraf semua stesen-stesen laluan Ampang untuk
menyediakan kemudahan akses universal. Untuk para pengguna RapidKL Monorail,
kami juga dalam proses meningkatkan standard perkhidmatan kami dengan program
pembesaran stesen, penambahan fleet dan penyambungan laluan monorel sekarang.
“Keseluruhan rangkaian rel – LRT Kelana
Jaya, LRT Ampang dan RapidKL Monorail akan turut melalui proses bersepadu
bersama-sama dengan rangkaian bas RapidKL dan sistem MRT yang akan mula
beroperasi pada 2017,” tambah Shahril, yang turut dilantik sebagai Ahli Lembaga
Pengarah MRT Co,. atau My Rapid Transit Corporation Sdn Bhd.
Shahril menambah “Projek MRT menjadi
sandaran utama dan tulang belakang kepada proses transformasi pengangkutan
awam. Dengan sokongan daripada projek MRT ini, kami berharap untuk meningkatkan
penggunaan perkhidmatan awam kepada 25 peratus.
“Dengan MRT, kita akan mempunyai lima
laluan rel. MRT bukan sekadar menjadi agen transformasi kepada pengangkutan
awam; tetapi juga pemangkin ekonomi. MRT akan menghasilkan mobiliti dan
meningkatkan produkiviti dan ini akan menjadi kunci kepada kejayaan Malaysia
merealisasikan impian menjadi negara maju menjelang 2020,” kata Shahril, yang
juga Naib Presiden Jawatankuasa Eksekutif International Association of Public
Transport Divisyen Asia Pasifik.
Di kalangan wargakerja PRASARANA,
Shahril turut mempelopori program-program pembaharuan melalui Go Forward Plan
(GFP), yang merupakan pelan dan strategi syarikat dalam mempertingkatkan mutu
perkhidmatan, penyampaian projek dan kedudukan kewangan syarikat secara
keseluruhan.
“Secara ringkas, GFP adalah program
transformasi dalaman PRASARANA dan kami harap ia akan menjadi platform dalam
misi besar kami merubah pengangkutan awam negara ke status negara maju dan
kebanggaan semua rakyat Malaysia. Itu harapan kami di PRASARANA,” tambah
Shahril.
Sumber:http://www.myrapid.com.my/
No comments:
Post a Comment